Rabu, 4Dis 2013 09:33 | kasihsayang kita pada Rasulullah
Garis-garis sinar mentari menembusi jendela bertabir
menerangi bilik bacaan itu dengan cahaya yang malap. Secangkir Nescafe panas
dan beberapa keping biskut di atas meja yang dihidangkan ibunya untuk sarapan
pagi masih belum terusik. Tiada bunyi bingit yang menggangu tumpuan, melainkan
hanya bunyi kipas angin yang sedang berputar laju. Azim berdiri di sisi rak
buku yang terletak bersebelahan dengan meja tulisnya. Kopiah putih yang
menutupi rambut pendeknya yang sedikit keriting dilepaskan ke atas meja. Matanya
yang sepet itu memerhati dengan teliti judul-judul kitab yang berada dalam
koleksi rujukannya sambil disentuhnya kitab-kitab itu satu persatu dengan
hujung jarinya. Mencari sesuatu.
Sebuah kitab yang tebal ditarik keluar daripada rak buku.
Kitab yang berjudul Syamail Muhammadiyah itu dibelek-belek daripada satu muka
surat ke muka surat yang lainnya. Pada kulit buku tertera nama pengarang, Imam
At-Tirmizi, salah seorang ulama hadis terkemuka dan terkenal dengan kitab Sunan
At-Tirmizi yang tersenarai dan kutubus sittah.
Syamail Muhammadiyah adalah satu kitab Imam At-Tirmizi yang
dikhaskan olehnya untuk menghimpunkan hadis-hadis yang menjelaskan tentang
sifat-sifat dan peribadi serta akhlak Nabi Muhammad s.a.w. Padanya ada hadis
yang shahih, hasan dan juga dhaif sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam
At-Tirmizi sendiri.
Membaca sifat-sifat Rasulullah s.a.w yang tercinta, hatinya
diselubungi perasaan sayu dan rindu. Terkenang kewafatan Rasulullah s.a.w di
pangkuan isterinya yang tercinta, Ummul Mukminin Aisyah r.anha. Ketika itu pada
waktu Dhuha pada hari isnin, bersamaan 12 Rabiul Awal tahun 11 Hijrah, selepas
bersiwak Rasulullah s.a.w pun mengangkat tangannya dan menyebut, "Ya
Allah, ampunilah aku, rahmatilah daku dan pertemukanlah daku dengan Kekasih yang
Maha Tinggi. Ya Allah, Kekasih yang Maha Tinggi." Setelah mengulangnya
kalimah itu sebanyak tiga kali, Rasulullah s.a.w pun kembali menghadap kepada
Allah, Kekasih yang Maha Tinggi.
Berikutan tersebarnya khabar kewafatan Rasulullah s.a.w itu,
seluruh umat Islam dilanda rasa sedih dan duka. Umar r.a ketika itu hilang
pertimbangan, lalu ditenangkan oleh Abu Bakar Ash-Shiddiq. Bilal bin Rabah r.a
yang biasa melaungkan azan, menangis teresak-esak apabila sampai pada kalimah
"Asyhadu anna muhammadar rasulullah" kerana teringatkan Rasulullah
s.a.w, sehinggakan mereka yang mendengar tangisan itu turut menangis sama.
Kewafatan Rasulullah s.a.w merupakan kehilangan yang amat
besar kepada umat Islam daripada dahulu sehingga ke hari ini.
"Allahumma solli 'ala muhammad," Azim mengucap
selawat berkali-kali sebagaimana yang diriwayatkan. Kerinduan untuk bertemu
Rasulullah s.a.w meresapi jiwanya, memenuhi kolong hatinya. Hasratnya ingin
bersua dengan baginda s.a.w, namun apakan daya, takdir telah tertulis bahawa
lahirnya ke dunia, Rasulullah s.a.w sudah pun lama pergi menemui Kekasihnya,
Allah Rabbul Jalil.
Untuk itu hanya peninggalan Rasulullah s.a.w yang berupa
al-Qur'an dan as-Sunnah yang menjadi pegangannya, bersama kefahaman para
Salafus Soleh. Pada masa yang sama dia tetap berharap, agar dipertemukan dengan
Rasulullah s.a.w di alam mimpi, walaupun tidak dapat bersua muka secara nyata.
Fikiran Azim menerjah ke masa silam. Terkenangkan peristiwa
ketika dia berada di bangku sekolah tingkatan tiga, di SMK Bandaraya. Ketika mula-mula
tertarik untuk mendalami agama selepas tersedar daripada hanyut dibawa ombak
kelalaian, tenggelam dalam samudera kesia-siaan. Masih anak muda remaja yang
belum begitu mengerti soal agama yang murni.
"Saya mimpi melihat Rasulullah s.a.w, ustaz!" luahnya
ketika menemui Ustaz Sabri di bilik guru. Dia mengkhabarkan kepada ustaz Sabri,
bahawa mimpinya lewat malam semalam, dikunjungi oleh seorang lelaki misteri
yang tidak pernah dikenalinya, berseri-seri dan bercahaya. Namun yakinnya
menyatakan bahawa itu adalah Rasulullah s.a.w.
Dia teringat Ustaz Sabri pernah berkata kepadanya, bahawa
Rasulullah s.a.w pernah menyatakan ketika sesi pembelajaran subjek Pendidikan
Islam bahawa syaitan tidak dapat menyerupai baginda s.a.w. Namun, ustaz Sabri
yang separuh usia itu tidak sempat mengulas lanjut mengenai luahan mimpinya
kerana sibuk menyiapkan kertas soalan untuk peperiksaan yang akan diduduki oleh
semua pelajar dua minggu lagi. Dan dia pun tidak mahu mengganggunya.
Beberapa hari berlalu. Mimpi yang menerpa lenanya beberapa
malam lepas masih segar di dalam benaknya, tidak dapat dilupa.
"Ya Allah, pertemukanlah daku dengan Rasulullah s.a.w
di dalam mimpi." Doa Azim sebelum terlena di atas sejadah, kelelahan
menunaikan qiamulail keesokan malamnya. Sekali lagi lelaki misteri itu
berkunjung di dalam mimpinya. Kali ini dengan beberapa orang yang berserban dan
berjubah putih dengan wajah yang berseri-seri. Dia cuba untuk berbual dengan
lelaki tersebut, bertanya kepadanya, mahukan kepastian. Namun lelaki dalam
mimpinya itu hanya tersenyum. Air matanya mengalir sambil menangis teresak-esak
sebaik sahaja terjaga. Hatinya semakin teguh berkata, lelaki yang ditemuinya
itu adalah Rasulullah s.a.w.
Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan berakhir sesi
pembelajaran pada hari berikutnya, Azim bergegas mengatur langkah ke bilik guru
untuk bertemu dengan ustaz Sabri. Moga-moga ustaz Sabri tidak sibuk pada hari
ini, bisik hatinya.
Tiba di hadapan bilik guru, Azim menolak daun pintu seraya
memberikan salam dan melangkah masuk setelah dipersilakan oleh ustaz Sabri.
Alhamdulillah, ustaz Sabri kelihatan sedang berehat di tempat duduknya.
Nampaknya ada peluang untuknya berbual panjang dengan Ustaz Sabri.
"Memang benar, syaitan tidak mampu untuk menyerupai
Nabi Muhammad s.a.w di dalam mimpi." Ulas ustaz yang separuh usia itu
sambil mengusap-usap janggutnya yang sejemput kemas. Posisi cermin matanya yang
tebal itu dibetulkan.
"Tapi, tidak semua yang berkunjung dalam mimpi kita dan
mengaku sebagai Rasulullah s.a.w itu adalah Rasulullah s.a.w yang
sebenarnya."
"Maksud ustaz?" Tanya Azim. Bukankah dahulu Ustaz
Sabri juga yang berkata kepadanya, bahawa Rasulullullah s.a.w itu tidak dapati
diserupai oleh syaitan, bisik hatinya. Kepalanya yang tidak gatal digaru-garu.
Keliru.
"Menyerupai dan mendakwa diri sebagai Rasulullah s.a.w
adalah dua perkara yang berbeza." Ustaz Sabri mengeluarkan sebuah kitab
daripada susunan buku-buku tebal yang berada di atas meja. Syamail
Muhammadiyah, itulah judulnya. Fikiran Ustaz Sabri teringat pernah suatu ketika
di dalam rancangan Expose Mistik di saluran Astro Prima, ada guru tareqat sesat
yang mengaku bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan mendakwa Rasulullah s.a.w
datang kepadanya sambil menangis memikirkan umatnya, lalu meminta syaikh
tareqat itu menyelamatkan mereka. Suatu cerita yang kemungkinan besarnya dusta
dan direka-reka untuk memperdaya para pengikutnya agar taksub dan kagum
kepadanya.
Terjemahan Syamail Muhamadiyah terbitan PTS Islamika :
"Kita tidak boleh mempercayai dengan serta-merta
apabila seorang lelaki misteri menemui kita di dalam mimpi dan menyatakan
dirinya sebagi Nabi Muhammad s.a.w." tambah Ustaz Sabri lagi. Kitab yang
diletakkan di atas meja itu dibeleknya satu persatu. "Memang benar syaitan
tidak mampu untuk menyerupai Nabi Muhammad s.a.w sebagai zahirnya, tapi syaitan
mampu untuk mendakwa dirinya sebagai Nabi Muhammad s.a.w."
"Tapi perasaan saya kuat merasakan sedemikian, ya
ustaz." Azim bersuara, tapi keyakinannya terhadap mimpi tersebut mulai
goyah.
"Perasaan tidak cukup untuk kita menentukan itu
Rasulullah s.a.w atau pun sebaliknya, Azim." Kata Ustaz Sabri dengan
mesra. Dia faham tentang perasaan rindu muridnya itu kepada Rasulullah s.a.w,
sebagaimana yang dikhabarkan kepadanya beberapa hari lepas.
"Lalu bagaimana hendak menentukannya?"
"Dengan riwayat-riwayat yang shahih dan hasan tentang
baginda s.a.w yang sampai kepada kita." Jawab Ustaz Sabri. Telunjuknya
ditujukan ke satu muka surat di dalam kitab Syamail Muhammadiyah. "Pernah
suatu ketika seorang berkata kepada Ibnu Abbas r.a, bahawa dia bermimpi bertemu
Rasulullah s.a.w, maka Ibnu Abbas r.a pun bertanya kepada orang yang berkata
itu tentang ciri-ciri Rasullullah s.a.w yang ditemui dalam mimpinya bagi
membuat perbandingan, adakah yang hadir dalam mimpi itu benar adalah Rasulullah
s.a.w atau pun sebaliknya."
"Maka begitu juga dengan kita. Sekiranya setelah
membuat perbandingan, dan nyata bahawa wujudnya persamaan di antara riwayat
yang sampai kepada kita berkenaan dengan Rasulullah s.a.w, dengan orang yang
mengaku sebagai Rasulullah s.a.w dalam mimpi kita, maka mungkin sekali ianya
adalah Rasulullah s.a.w. Sekira sebaliknya, maka kemungkinan besar itu bukanlah
Rasulullah s.a.w yang sebenarnya."
"Sebagai contohnya, di dalam mimpi kita melihat
Rasulullah s.a.w itu berambut putih kerana banyaknya uban, sedangkan yang
sampai dalam riwayat yang shahih, uban Rasulullah s.a.w itu tidaklah begitu
banyak. Bahkan, ianya mampu dihitung dengan menggunakan jari." Kitab
Syamail Muhammadiyah yang dihulurkan oleh Ustaz Sabri dicapainya dengan segera.
Azim membelek lembaran muka surat yang menyatakan tentang
ciri-ciri zahir Rasulullah s.a.w, pada masa yang sama dia cuba mengingat
kembali ciri-ciri lelaki yang mengunjungi mimpinya untuk membuat perbandingan
dengan apa yang dibacanya dalam kitab itu. Ustaz Sabri diam memerhati muridnya
sambil tersenyum melihat gelagatnya.
Air jernih mula bergenang di tubir matanya. Menitis tanpa
disedari, lalu disekanya air mata itu dengan menggunakan tapak tangannya.
Fikirannya di terjah perasaan sayu, kecewa. Ternyata lelaki yang hadir dalam
mimpinya jauh berbeza dengan sifat Rasulullah s.a.w yang tertera dalam Syamail
Muhammadiyah. Siapa dia? Adakah itu syaitan yang cuba untuk menyesatkannya
daripada jalan yang lurus, atau cuma mainan tidur semata-mata? Cuma Allah s.w.t
yang mengetahuinya. Yang pastinya lelaki itu bukan Rasulullah s.a.w, dia
bermonolog sendiri.
Azim merasakan masa seperti terhenti buat seketika, alam
menjadi sepi dalam fikirannya. Sukmanya diselubungi perasaan sedih, pilu dan
kecewa.
"Nampaknya yang hadir dalam mimpi saya bukan Rasulullah
s.a.w." luahnya dengan suara yang mendatar tidak begitu kedengaran.
Ustaz Sabri menarik nafas dalam-dalam. Perasaannya terkesan
kagum melihat keinginan anak muda di hadapannya. Anak muda di hadapannya itu
berbeza daripada yang biasa ditemuinya.
"Sabarlah Azim. Kalau pun kita tidak dapat bertemu
Rasulullah s.a.w pada masa ini, insya' Allah kita akan bertemu baginda s.a.w.
di akhirat, selagi mana kita beragama Islam dan berpegang teguh dengan sunnah
baginda s.a.w serta banyak berselawat kepadanya." Ustaz Sabri
menghampirkan diri dan memegang baru Azim. Diusap-usapnya kepala anak muda di
hadapannya itu.
Perlahan-lahan Azim menghela nafas yang panjang. Kitab
Syamail Muhammadiyah di tangannya ditutup perlahan-lahan, lalu dikembalikan ke dalam
rak buku di sisi mejanya. Pesan-pesan Ustaz Sabri agar berpegang teguh kepada
Islam, al-Qur'an dan sunnah Rasulullah s.a.w berdasarkan kefahaman Salafus
Soleh tidak pernah luput daripada ingatan. Sunnah yang semakin ditinggalkan
ramai orang, dihidupkannya dan perkara yang menyelisihi sunnah itu ditolaknya
secara hikmah, dengan harapan agar usahanya itu akan menemukannya baginda s.a.w
di akhirat sana.
_uk30251_
_uk30251_
No comments:
Post a Comment