Melihat kebahagiaan manusia lain dengan apa adanya pada diri
kita itu adalah sangat bahagia. Namun pada ketika melihat kebahagiaan orang
lain dengan diam-diam melihat segala kekurangan diri sendiri, itu adalah muara
segala kepedihan.
Di muara itu, pedih itu akan mengalir perlahan-lahan, lesu
tapi pasti ke hulu hati. Dan inilah kisahnya, kisah bagaimana saya akhirnya
menegadahkan wajah pada yang namanya bahagia yang pedih.
Tahun akhir.
Tahun terakhir di universiti menjadikan saya perempuan yang
kurang terkendali. Tugasan akhir perlu dihantar, harapan ibu bapa juga perlu
dijunjung, namun paling membuat saya terjerembap pada namanya pedih, adalah
kata-kata mitos yang entah siapa menciptanya.
Kata mereka, "Sekiranya kamu sudah berada pada tahun
akhir, tetapi kamu belum punya buah hati, kamu akan sulit mencari jodoh."
Saya tahu itu mitos, namun tetap sahaja ia mengganggu hati
pada ketika mata mahu pejam. Ia seperti nyamuk yang lapar dan menyangka telinga
kita adalah tempat meluahkan rasa laparnya.
Saya cuba sabarkan diri, cuba penuhkan waktu dengan segala
jenis kesibukan yang saya tahu, namun tetap sahaja kata-kata mitos itu
berdatangan masuk ke dalam hati. Jelas, hati saya masih ada celah-celah yang
tidak saya ikat rapat-rapat, walaupun sudah segenap usaha saya mencuba.
Bertanya juga saya dalam hati, "Mengapa tidak ada yang
mengutuskan surat cinta?"
Untuk pertanyaan itu sering saya jawab dengan penuh rasa
rendah diri, "Saya bukan perempuan yang cantik."
Yang bertambah merisaukan saya adalah pada hari itu, pada
ketika saya mahu menyedapkan hati, mahu berkata cinta sebelum nikah itu haram
lalu saya bertanya kepada teman sebilik saya yang tinggi ilmunya.
"Kamu tidak fikir cinta sebelum nikah itu haram?"
Dalam tersenyum dia menjawab, "Bercinta tidak haram,
yang haram adalah zina. Jadi sekiranya cinta kamu itu mendekatkan kamu kepada
zina, kamu boleh fikirkan sendiri hukumnya, dan kamu sendiri tahu menyusun
keutamaannya. Jangan salahkan cinta tetapi salahkan diri kamu sendiri. Nabi
Muhammad saw sendiri tidak membantah orang bercinta tetapi cinta itu perlu
berakhir dengan perkahwinan kerana hanya itu ubatnya cinta.
Seperti kisah seorang gadis yatim yang dipinang oleh dua
lelaki. Seorang miskin dan seorang kaya. Gadis tadi memilih lelaki miskin tadi
atas dasar cinta sedangkan penjaganya memilih lelaki kaya tadi. Apabila perkara
itu diajukan kepada Rasulullah, beliau bersabda, 'Aku tidak melihat (penawar)
untuk dua orang yang bercinta seperti nikah". Ini hadis sahih riwayat
al-Baihaqi dan Ibnu Majah."
Itu jawapan yang saya pegang bersama dengan runsing pada
mitos yang saya tidak tahu di mana benarnya. Mujur juga, teman sebilik saya
yang cantik, alim dan bijak itu tidak ada teman lelaki. Keadaan itu melegakan
hati saya kerana saya tahu, saya tidak sendiri.
Yang paling melegakan saya adalah bicaranya. Katanya,
"Jodoh, mati dan rezeki itu rahsia Allah. Yang namanya rahsia itu,
sekiranya kita cari pun betul, sekiranya kita menunggu pun tidak salah kerana
ia rahsia. Kita tidak tahu bila datangnya jodoh itu, sama ada ia datang pada
waktu kita mencari ataupun pada waktu kita menunggu. Apa yang boleh kita
lakukan adalah, lengkapkan diri kita menjadi perempuan yang baik. Perempuan
yang taat pada suruhan Allah. Kerana ada waktunya nanti, Allah akan datangkan
petunjuknya, sama ada kita perlu mencari ataupun kita perlu menunggu."
Lalu berdoa sahajalah yang dapat saya lakukan, dan akhirnya,
seperti doa dalam diam saya dijawab Tuhan, dan pada hari itu saya menemukan
lelaki ini, lelaki yang membuatkan mitos itu kabur daripada hati saya.
Lelaki.
Dia rakan sekuliah, dan dia seorang yang sangat tekun
belajar dan dia cuma kalah tekunnya kepada rakan karibnya sendiri. Markah
peperiksaan dia tidak pernah gagal mendapat B ke atas. Pada wajah dia, semua
sepakat mengakui, jelas sinar kejayaan di situ. Saya juga melihat perkara itu
dan saya akui dalam tidak sedar, hati saya mula terpaut kepada dia.
Namun, perempuan tetaplah perempuan. Malu itu adalah perkara
nombor satu. Malahan dengan kacak wajah lelaki itu, saya sangat yakin,
setidak-tidaknya dia sudah punya kekasih yang akan diajaknya bernikah usai
menerima ijazah.
Itu yang saya yakin sehinggalah pada hari itu, selepas
peperiksaan terakhir, pada ketika di luar dewan peperiksaan masih riuh dengan
gelak tawa, dia datang kepada saya.
"Saya tidak pandai berkata-kata dan saya masih
malu," ucap dia yang pertama, membuat saya terhairan-hairan.
"Jadi?"
"Begini, biar saya berterus-terang." Lelaki itu
menggaru-garu dahinya yang saya tahu tidak gatal, tetapi gaya itu membuatkan
saya semakin tertanya-tanya.
"Begini...." Pada ayat itu juga dia berhenti dan
kembali tunduk.
Saya hanya melihat jam, dan apabila melihat saya begitu,
wajahnya terlihat risau.
"Begini...."
"Apa yang begini?" soal saya segera.
"Begini, saya bertanya kepada ibu saya, bagaimana saya
mahu mencari perempuan yang baik untuk saya nikahi. Ibu saya menjawab, saya
tidak perlu risaukan berkenaan perkara itu. Perkara yang perlu saya risaukan
adalah diri saya sendiri. Saya perlu menjadi lelaki yang baik dan pada ketika
itu persoalan 'bagaimana mencari perempuan baik' akan selesai dengan
sendirinya," jelas dia panjang.
"Jadi?" soal saya lagi dengan hati yang sudah
berdegup kencang.
"Jadi, saya fikir, dalam empat tahun di sini saya sudah
berusaha sebaik mungkin menjadi lelaki terbaik, dan saya fikir, lelaki yang
baik bukan lelaki yang sekadar menanti jodohnya, tetapi adalah lelaki yang juga
mencari, dan itulah yang saya mahu beritahu," jawab dia dengan
tergagap-gagap.
Mendengarkan itu pipi saya menjadi merah. Apa maksud dia?
Mengapa tiba-tiba dia berkata begitu kepada saya? Takkan dia.... Tiba-tiba saya
berasa saya menjadi perempuan yang sangat bertuah.
"Jadi, saya minta tolong awak, tolong hantarkan surat
ini kepada rakan sebilik awak," kata dia lalu menghulurkan surat bersampul
biru muda kepada saya, dan terus rasa bertuah saya hilang entah ke mana, dan
terus sahaja merah pipi saya bertambah hangat.
"Sebelum awak salah anggap, ia bukan surat cinta,
tetapi ia adalah surat izin mahu berjumpa ayahnya. Jadi saya harap awak tidak
anggap saya ini lelaki yang sekadar bermulut manis," jelas dia dengan
bersungguh-sungguh.
Saya tahu, pedih saya sudah bermula. Teman yang membuatkan
saya selesa itu juga sudah menerima surat cinta, dan saya? Tetapi saya tetap
bahagia kerana teman baik saya itu mendapatkan lelaki yang mendengar kata-kata
ibunya, lelaki yang cerah masa hadapannya. Saya bahagia tetapi tetap sahaja ia
bahagia yang pedih.
Lalu pada ketika saya memberikan surat sampul biru muda
kepada teman sebilik saya, dia berkata, "Sebenarnya, kamu juga mendapat
surat yang sama daripada rakan karib lelaki itu. Kamu sangat bertuah."
Lantas dia menghulurkan satu sampul surat putih kepada saya.
Pada sampul surat putih di tangan saya itu, saya tahu
seperkara, apapun isinya, ia adalah petunjuk kepada rahsia jodoh saya.
(Akmal Nadhirah bt Mohd Fauzi-uk30251)
No comments:
Post a Comment